Media Centre

Back

Monday, 08 Aug 2016

Banteras Wabak Denggi Bersama

PASIR GUDANG – Kempen kesedaran denggi yang sering dijalankan masyarakat setempat bersama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) berjaya menarik minat pekerja asing yang tinggal di Malaysia untuk sama-sama melawan serta mencegah wabak berkenaan.

image (1)

Pekerja kilang, Amdadul Hoque, 28, yang telah menetap di Taman Mawar, di sini sejak sembilan tahun lalu berkata, dirinya sering terlibat dan menyertai mana-mana kegiatan gotong-royong bagi membantu membasmi penyakit berbahaya tersebut.

“Saya telah terlibat dalam aktiviti memerangi pembiakan nyamuk aedes ini sejak dari tanah air lagi (Bangladesh) memandangkan di kawasan perumahan saya turut terdapat beberapa kes kematian disebabkan wabak ini.

“Mampu bertutur dan membaca dalam Bahasa Melayu banyak membantu saya untuk beramah mesra dan bercampur dengan masyarakat di sini, sekali gus memperoleh maklumat mengenai aktiviti gotong-royong yang sering diadakan pada setiap bulan,” katanya ketika ditemui semasa majlis gotong-royong yang diadakan di Taman Mawar, di sini, semalam.

Hadir sama bagi menyempurnakan Majlis, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad.

Rakannya, Jalal Ali Hussin, 38, pula berkata, sejak mula menetap di Malaysia pada tahun 2011 yang lalu, masyarakat sekitarnya sering mengingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan di kawasan penempatan bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aedes.

“Mereka sentiasa mengingatkan saya dan rakan serumah untuk sentiasa menjaga kebersihan dan menguruskan pembuangan sisa sampah dengan baik terutama bekas polistirena dan benda-benda yang boleh menakung air,” katanya.

Sementara itu, Presiden Combi Zon Mawar, Mariah Jaafar berkata, sejak aktiviti gotong-royong yang terakhir iaitu pada bulan Mac lalu, pihaknya tidak pernah menerima apa-apa laporan berkenaan kes denggi di kawasan.

Bagimanapun, beliau berkata, Julai lalu, kira-kira 27 kes telah dilaporkan masyarakat setempat yang turut melibatkan seorang kanak-kanak berusia sebelas tahun.

“Oleh itu, ‘Komuniti Bebas Denggi’ (KBD) menerusi Syarikat EntoGenex Industries Sdn Bhd telah menyediakan 5000 kit KBD untuk diagihkan ke setiap rumah dalam kawasan komuniti zon Mawar.

“Setakat ini, pihak kami telah berjaya mengedarkan kit percuma yang bernilai RM250 itu kepada sebahagian penduduk di kawasan ini yang juga termasuk beberapa penerima dari kawasan berhampiran iaitu penduduk dari Bukit Dahlia, Taman Cahaya Masai, Taman Cendana dan Taman Rinting,” katanya.

This article originally appear in Sinar Harian, 8 August 2016: http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/banteras-wabak-denggi-bersama-1.549820

Show Buttons
Hide Buttons